Followers

MOTIVASI TERHEBAD...

motivasi terhebad ini
diambil
di SINI

" SAHAJA AKU MENCINTAI MAKWEKU KERANA ALLAH "

sekadar gambar

Ramai manusia ingin mencari cinta dan redha Allah. Ramai manusia menyimpan hasrat untuk menjadikan Allah sebagai kekasih nombor satu. Tetapi niat sahaja tidak memadai, sekiranya tidak diaplikasikan mengikut cara yang tepat. Sudah tentu, ilmu dan kefahaman sangat penting. Tanpa ilmu dan kefahaman, kita boleh tersasar jauh dari landasan syariat, sedangkan kita menyangka kita sedang berada di jalan yang lurus dalam mencintai dan mencari redha Allah.


IKHTILAT

Isu ikhtilat tidak pernah sunyi dalam kamus hidup remaja. Lumrahnya begitu, kerana remaja cenderung untuk mencari cinta dan kasih sayang. Mereka dambakan belaian dan tempat bermanja. Mereka mahu menyayangi, merindui, disayangi dan dirindui. Segala fitrah ini seringkali membawa remaja jauh tersasar dari landasan syariat andaikata tidak dipandu dan dikawal oleh ilmu dan kefahaman Islam yang sebenar.

Begitu juga ramai di kalangan remaja yang keliru tentang ikhtilat. Ramai juga yang menyangka, menjaga ikhtilat itu untuk golongan 'agama' sahaja. Adapun golongan 'biasa-biasa', soal ikhtilat atau percampuran antara lelaki dan wanita tidak perlu ditekankan sangat. Apa yang penting, jangan sampai terjebak dengan zina. Kalau setakat berdua-duaan, berpegangan tangan atau bertepuk tampar, itu dianggap perkara biasa. Sedangkan hakikatnya, syariat Islam itu sama sahaja untuk semua.

Dari situ kita melihat, isu ikhtilat tidak pernah selesai. Para remaja masih jauh dari memahami dan mengamalkan etika dan disiplin Islam yang sebenar dalam begaul, terutama melibatkan lelaki dan perempuan.


CINTAN CINTUN

Terjebak dengan cinta adalah perkara biasa hari ini. Orang bercinta dianggap normal, manakala orang yang tidak bercinta pula seolah tidak normal. Fenomena bermain cinta bukan melanda golongan 'biasa-biasa' sahaja, bahkan turut sama melanda golongan 'agama' dengan begitu hebat. Cuma praktikalnya sahaja berbeza. Golongan 'agama' mungkin tidak sampai membonceng pasangan mereka menaiki motor ke hulu ke hilir. Tetapi berdua-duaan tetap ada. Bertukar kata rindu dan sayang tetap ada. Kononnya, 'couple islamic' kata mereka.

Cinta itu lumrah dan fitrah. Namun seringkali ia bertukar menjadi fitnah. Jangan salahkan Tuhan kononnya itu fitrah dan kita hanya mengikut fitrah. Sebaliknya kena sedar, bahawa Allah menyediakan garis panduan yang cukup lengkap bagaimana mahu menguruskan fitrah tersebut. Allah sekali-kali tidak pernah menzalimi manusia, tetapi manusia itulah yang menzalimi diri mereka sendiri.

Allah tidak menghalang perasaan dan keinginan untuk bercinta, bermanja, berkasih sayang, rindu-rinduan, tetapi Allah menyuruh kita supaya menggunakan saluran yang betul. Salurannya ialah pernikahan. Bukan sahaja segala fitrah tadi dapat disalurkan dengan baik, bahkan juga dapat menjaga keturunan dan maruah manusia. Lihat bagaimana Allah selaku mekanik kepada manusia, menyediakan manual yang begitu teliti. Takkan pula kita sewenang-wenangnya mahu 'menyalahkan' Allah atas nama fitrah, sedangkan kita sendiri yang mengubahnya menjadi fitnah?


ZINA HATI?

Banyak orang mentakrifkan zina hati sebagai 'pengharaman mengingati' orang yang bukan mahram. Pendapat ini mungkin agak keras dan syadid, berbanding pendapat yang mengatakan zina hati sebagai 'pengharaman mengingati bukan mahram yang berlebihan, bercampur baur dengan unsur dan nafsu dan syahwat serta mendorong kepada maksiat'. Apa yang penting adalah, zina perkara dosa yang sangat ditegah oleh Allah. Mendekati zina sudah dilarang keras, apatah lagi sewenang-wenangnya mengamalkan tabiat berzina. Mendekati zina ada banyak cara, antaranya adalah dengan tidak menjaga lisan, telinga dan hati sehingga terjebak dengan unsur-unsur nafsu syahwat dengan kaum yang berlainan jantina dengan kita.

Mengingati seseorang pula tidaklah sampai menjadi haram. Apatah lagi dikategorikan sebagai zina hati. Umpamanya, seorang lelaki tiba-tiba teringat kepada seorang wanita yang dikagumi dan diminati. Namun dia sedaya upaya mengawal dirinya supaya tidak terus beranganan, berimaginasi, berkhayal dan dia lekas-lekas beristighfar kepada Allah. Itu bukan namanya zina hati. Sebab utama adalah, manusia tidak mampu menyekat hatinya dari mengingati orang lain. Di sana ada perbezaan antara " teringat " dan " sengaja ingat ". Teringat adalah diluar usaha kita, manakala sengaja ingat adalah usaha kita sendiri.

Sekiranya seseorang itu mempunyai kekasih, dan setiap malam dia membiarkan dirinya leka dengan ingatan pada kekasihnya, sehingga cenderung untuk berkhayal dan berimaginasi, maka jelas sekali dia terjebak dengan apa yang dikatakan sebagai zina hati. Termasuk juga di dalamnya adalah berkhayal tentang pipi kekasihnya, mata, bibir, bentuk badan, suara, kemanjaan, kelembutan, jelingan , lebih dahsyat lagi kalau sampai tahap membayangkan 'seekor lembu yang tidak memakai baju'.


DISIPLIN

Bercinta tidak salah. Meninggalkan perasaan cinta suatu perkara yang bukan mudah. Kerana itu, alternatif yang ada wajar digunakan sebaiknya. Antara yang boleh dibuat adalah mengamalkan disiplin yang tinggi dalam bercinta. Awak suka saya dan awak berhasrat tinggi untuk memiliki saya, dan saya juga mempunyai perasaan yang sama kepada awak. Namun , masanya belum tiba. Sebelum masa itu tiba, kita berdua wajib amalkan disiplin yang tinggi, sama seperti orang yang tidak pernah mengenali antara satu sama lain.

Kita tidak boleh bebas bergayut di telefon setiap masa yang kita suka. Kita tidak boleh bebas keluar berdua. Kita tidak boleh dengan selamba mengisytiharkan 'status' cinta kita kepada orang lain. Contohnya, meletakkan status'in a relationship with minah / mamat' dekat facebook. Kita juga tidak boleh menulis kata-kata manja, rindu, sayang dan sebagainya, apatalah lagi berbalas-balas kata yang serupa di wall facebook masing-masing. Ketahuilah bahawa kesemua itu adalah dosa. Bahkan dosa itu telah 'beranak' menjadi dua tanpa anda sedari.

Dosa pertama, anda tidak menjaga batas hubungan antara bukan mahram, meskipun berupa kata-kata. Dosa kedua, anda mempamerkan pula maksiat tersebut di hadapan semua orang. Fikir-fikirkan jugalah, bagaimana hubungan anda dengan si dia akan beroleh keberkatan, kalau segalanya bertentangan dan berlawanan dengan kehendak Allah?

Dari situ, adakah anda mahu melafazkan niat : " Sahaja aku mencintai pakweku / makweku kerana Allah ? "


RAHSIA

Soal anda suka siapa, sayang siapa, siapa sayang anda dan suka anda, biarlah rahsia antara anda dan dia. Bukan maksudnya, rahsia anda bebas berhubungan dengan dia. Maksudnya begini ; anda dan dia ada hubungan atau perjanjian. Lebih baik, perhubungan dan perjanjian ini dikawal oleh keluarga. Alternatif paling bijak adalahbertunang. Kemudian, anda hidup dengan cara anda, begitu juga dengan dia. Sekiranya ada perkara penting yang memerlukan perbincangan, maka anda dan dia boleh berbincang. Sekiranya tiada, maka cukuplah anda mengetahi yang dia masih hidup, tidak sakit dan dia juga begitu.

Ada pun fenomena bersibuk-sibuk dengan status 'sudah berpunya', 'dah ada couple' , 'dah jadi hak orang' , maka ini semua jauh dari tatacara yang diajarkan agama. Lebih-lebih lagi wanita, anda sangat perlu menjaga maruah dan sifat malu. Nabi s.a.w sangat menekankan tentang peri pentingnya sifat malu pada manusia, lebih-lebih lagi wanita. Sehingga Baginda s.a.w menyebut : " Sekiranya kamu sudah hilang sifat MALU, maka kamu boleh buat apa sahaja yang kamu MAHU ".

Seorang wanita boleh berdiri di atas pentas memperagakan fesyen bogel di negara barat, sedangkan dia seorang wanita. Tetapi itulah kebenaran kata Nabi s.a.w : kalau kamu sudah hilang sifat malu, segala benda kamu boleh buat. Hatta kencing di tepi jalan pun kamu boleh buat tanpa rasa malu.

Tetapi kita wanita Islam, jagalah sifat malu sebaik mungkin.

Malulah untuk bercakap dengan kaum yang bukan mahram. Malulah untuk berlebih-lebihan menampakkan rasa cinta , sedangkan diri belum bernikah. Malulah untuk mengisytiharkan kononnya aku sudah 'berpunya' sedangkan masih di bangku sekolah.

Lebih-lebih lagi, MALU lah untuk mengatakan AKU CINTA ALLAH, sedangkan hakikatnya anda sedang mendewa-dewakan manusia dan meminggirkan syariat Allah.


Semoga Allah memberikah hidayahNya kepada kita semua. Amin.

Sekian

No comments: